Profil Dr. Sakinah

Ustazah Dr. Sakinah Saptu merupakan graduan Madrasah Alsagoff al-Arabiah (tahun 1990-1999). Beliau telah melanjutkan pengajian diploma di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat Melaka (Cawangan Darul Quran, JAKIM). Setelah menamatkan pengajian diploma pada tahun 2003, beliau berkhidmat di Darul Quran Singapura (DQS), Masjid Kampung Siglap sebagai guru tahfiz sehingga tahun 2005.  Beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dan akhirnya memperoleh ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam pengajian al-Quran dan al-Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2008. Beliau juga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam bidang yang sama di UKM pada tahun 2011. Beliau pernah berkhidmat di Masjid Darul Ghufran sebagai pegawai dakwah pada tahun 2008. Selain itu, pernah dilantik sebagai tutor separuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi subjek Kajian Ulum al-Hadith pada tahun 2009. Beliau juga berpengalaman mengajar program Diploma dan Sijil di Institut Pengajian Tinggi al-Zuhri. Pada tahun 2013, beliau dilantik sebagai pensyarah separuh masa bagi Diploma Pengajian Islam Madrasah Alsagoff al-Arabiah. Selain itu, pada tahun yang sama beliau juga berkhidmat sebagai pembantu penyelidik siswazah bagi modul Kajian Fiqh Kanak-Kanak di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Beliau juga aktif menulis pelbagai artikel berkaitan dengan kajian al-Quran dan al-Sunnah. Pada Mei 2016, Ustazah Dr. Sakinah Saptu telah berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah dengan pangkat Cemerlang dalam bidang Hadis di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Beliau kini bergiat aktif menyebarkan ilmu Hadis khususnya bagi kalangan Muslimah Singapura.